Wednesday, November 30, 2005

3 Cara untuk meningkatkan kemahiran komunikasi Interpersonal

Bertemu lagi dalam siri komunikasi interpersonal. Pada kali ini kita akan sama-sama mempelajari cara-cara untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi secara bersemuka. Terdapat tiga cara untuk menyerlahkan imej dan ketrampilan diri melalui komunikasi interpersonal ini iaitu melalui S.E.R. (sensing, evaluating dan responding)


“Sensing” yang bermaksud memahami, memberi ruang untuk kita berfikir atau menangguhkan penilaian terhadap sesuatu. Apabila terlibat dalam sesuatu situasi misalnya dalam proses pembuatan keputusan, kita akan cuba memahami apakah situasi sebenar yang berlaku. Melalui cara ini, kita dapat mengelakkan gangguan yang tidak diingini seperti khabar angin, salah faham maklumat dan sebagainya. Teknik “sensing” cukup mudah iaitu mendengar segala penjelasan tanpa memberi komen terlebih dahulu. Ini penting bagi memberi ruang penerimaan segala maklumat berkaitan tanpa mengundang sebarang gangguan. Sebagai contoh, seseorang pemimpin mesti sentiasa bersedia mendengar segala aduan, masalah dan perkembangan yang dilaporkan oleh para pengikutnya. Situasi ini mewujudkan ruang kepada kedua-dua pihak untuk lebih mengenali antara satu sama lain.


Semasa “evaluating” iaitu penilaian, individu perlu bijak dalam menyusun semua maklumat yang diterima untuk memastikan proses penilaian dalam pembuatan keputusan dapat dicapai dengan efektif. Segala idea, maklumat, masalah, keperluan dan laporan yang dikemukakan perlulah diklasifikasikan dengan betul bagi mengelakkan daripada timbulnya sebarang masalah. Disini kebijaksanaan seseorang pemimpin akan teruji untuk melihat sejauh mana tahap kepimpinan dan keintelektualannya dalam membuat analisa masalah. Jika seorang pemimpin berjaya membuat penilaian denga tepat sedah tentu para pengikutnya semakin menghormati beliau. Selain itu juga individu perlu bijak menunjukkan sikap empati (kebolehan memahami situasi individu lain dengan meletakkan diri dalam situasi tersebut). Seseorang pemimpin tidak harus menunjukkan sikap simpati sahaja tanpa turut merasai apa yang dialami oleh para pengikutnya. Sikap empati ini mampu mendorong kejelikitan hubungan antara dua pihak. Misalnya mangsa banjir akan terharu dan semakin menyanjungi pemimpinnya yang sudi turun padang melihat dan merasai keperitan yang dialami mereka.

Seterusnya, “responding” yang membawa maksud tindak balas. Setelah cuba memahami situasi atau masalah yang berlaku, individu akan membuat analisa dan penilaian yang terbaik sekaligus menunjukkan respon yang berkaitan. Samada respon tersebut ditunjukkan melalui gerak tubuh (gesture), seperti menangguk kepala,menggeliat, kedudukan (posture) seperti berdiri dengan tegak, berpeluk tubuh ataupun mimik muka yang berbeza seperti sedih, gembira dan sebagainya. Kesemua tindak balas ini memperjelaskan mesej yang ingin disampaikan. Contohnya seorang pemimpin akan menunjukkan mimik muka sedih dan turut bersimpati setelah mendengar aduan mangsa banjir. Secara tidak langsung, hubungan interpersonal yang diamalkan semakin berkesan dek pengukuhan elemen “sensing”, “evaluating” dan “responding” itu tadi.


“…sesebuah hubungan akan lebih bermakna apabila kita saling memahami antara satu sama lain…”

---
Dikemukakan oleh W.N. untuk MRT Viewpoint

0 Comments:

Post a Comment

<< Home